CYBERJAYA: Orang awam tidak perlu memaparkan lesen kenderaan motor (LKM atau cukai jalan) pada kenderaan masing-masing sebaliknya menggunakan mod paparan digital mulai hari ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif pendigitalan itu diperkenalkan bagi mengatasi isu pelekat LKM yang kerap rosak dan bermasalah sebelum ini.
Katanya, orang awam kini boleh mendaftar akaun masing-masing secara digital melalui portal awam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau aplikasi mobile MyJPJ menerusi App Store, Play Store dan Huawei App Gallery.
“Buat masa ini, inisiatif itu terpakai bagi kenderaan persendirian individu termasuk pemilik motosikal sebelum diperluas ke fasa seterusnya,” katanya pada sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, hari ini.
Tambah beliau, Lesen Memandu Malaysia (LLM) Persendirian juga akan beralih ke platform digital.
Perihal ini bermaksud pemegang lesen tidak lagi perlu membawa kad fizikal lesen ketika memandu.
Jelasnya, inisiatif secara berperingkat yang kini di fasa partama itu akan mengambil kira kesediaan sistem dan penerimaan awam terhadap pelaksanaannya sebelum diperluaskan ke fasa-fasa seterusnya.
“Saya mengalu-alukan semua pemandu dan pemilik kenderaan untuk beralih ke platform digital. Dengan pendigitalan, keadaan sesak dan beratur panjang di kaunter JPJ akan berkurangan dan ini akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan keselesaan rakyat.
“Untuk pemandu dan pemilik kenderaan yang belum bersedia, anda masih boleh memperoleh dan mengekalkan amalan memapar pelekat atau kertas LKM serta menggunakan kad fizikal LMM dalam tempoh interim,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Loke berkata, dalam tempoh pelaksanaan fasa pertama ini, beberapa kategori pemilik atau pemegang lesen kenderaan masih perlu mempamerkan LKM dan mengemukakan kad LLM mereka.
“Mereka adalah pemegang Lesen Belajar Memandu (LDL), pemegang Lesen Vokasional (PSV/GDL/KON), pemegang Lesen Memandu Malaysia Bagi Warganegara Asing dan pemegang Lesen Memandu Negara Luar Oleh Pemandu Warganegara Asing (IDP).
“Turut perlu memaparkan LKM mereka adalah LKM persendirian syarikat, kenderaan pemilikan warganegara asing dan kenderaan perdagangan meliputi kenderaan barangan dan kenderaan perkhidmatan awam,” maklumnya.