HomeBeritaWarga emas maut, tak sempat ambil cucu di sekolah

Warga emas maut, tak sempat ambil cucu di sekolah

 

KOTA BHARU: Hasrat mengambil cucu pulang dari sekolah tidak kesampaian apabila seorang warga emas, dilaporkan maut akibat kemalangan di persimpangan lampu isyarat Pejabat Pendidikan Daerah Telipot di sini.

Kejadian yang berlaku pada jam 1 petang Ahad itu membabitkan mangsa, Abdullah Seman, 71, yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda dari arah Taman Maju ke Masjid Telipot melalui Jalan Telipot.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, siasatan awal berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa ketika tiba di lampu isyarat telah dikesan meneruskan perjalanan ke sekolah.

“Pada masa sama datang sebuah lori dari persimpangan kiri mangsa dan terlanggar bahagian sisi kiri motosikal yang ditunggangnya.

“Kemalangan menyebabkan mangsa terjatuh dan topi keledar tertanggal mengakibatkan kecederaan teruk di bahagian kepala,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Tambah beliau, warga emas itu disahkan meninggal dunia di lokasi sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia untuk bedah siasat.

“Polis kini masih sedang mengesan pemandu lori dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Author

Pilihan Editor