HomeBeritaMahkamah & JenayahYakub Khan pilihan BN ganti Bung Mokhtar berunding dengan Sabah

Yakub Khan pilihan BN ganti Bung Mokhtar berunding dengan Sabah

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan akan mewakili UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah dalam segala perundingan dengan Kerajaan Perpaduan Sabah dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Nor.

Perkara itu sekali gus mengetepikan peranan Pengerusi UMNO dan BN Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan sebelum ini dalam berunding dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, BN juga mengambil ketetapan memberi sokongan dan mendokong Kerajaan Perpaduan Sabah pimpinan Hajiji selaku Ketua Menteri Sabah.

“Pendirian ini sejajar dengan ketetapan parti pada peringkat Persekutuan yang sudah membentuk Kerajaan Perpaduan. Sebuah Sekretariat Tetap Kerajaan Perpaduan dibentuk untuk menyelaras semua parti yang mengasaskannya.

“Ini termasuk ketetapan Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang bersidang pada 7 Februari lalu untuk diwujudkan sekretariat sama pada peringkat negeri termasuk Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Bung Mokhtar sebelum ini memaklumkan belum ada sebarang keputusan dibuat bagi menyelesaikan kemelut politik di Sabah, sebaliknya perbincangan masih dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin parti politik di negeri ini.

Kemelut politik di Sabah tercetus kembali bulan lalu selepas Bung Mokhtar mengumumkan UMNO Sabah menarik sokongan kepada Hajiji, yang diikuti beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan BN lain.

Hanya lima ADUN UMNO dan BN tidak mengikuti langkah Bung Mokhtar dan terus menyokong kepimpinan Hajiji.

Tindakan itu mengakibatkan rombakan semula Kabinet Sabah dibuat Hajiji yang menyaksikan Bung Mokhtar akhirnya digugurkan jawatan Timbalan Ketua Menteri I dan Menteri Kerja Raya Sabah.

Zambry berkata, BN Sabah juga dipertanggungjawabkan bagi menggembleng segala usaha dan upaya untuk memastikan agenda perpaduan ini dapat direalisasikan, sekali gus memberikan khidmat bakti terbaik kepada rakyat Sabah melalui Kerajaan Perpaduan Sabah.

Hujung bulan lalu, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), memaklumkan bakal mengetuai parti politik baharu dikenali Parti Gagasan Rakyat Sabah atau singkatannya Gagasan Rakyat, platform untuk meneruskan perjuangan sebagai parti tempatan dan bernaung di bawah GRS.

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu, Hajiji adalah Pengerusi BERSATU merangkap Pengerui Perikatan Nasional (PN) Sabah, namun semua calon BERSATU di Sabah bertanding pilihan raya di bawah tiket GRS.

Pada 9 Disember, Hajiji dan semua pemimpin BERSATU Sabah, termasuk semua wakil rakyatnya mengumumkan keluar daripada parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu selepas menimbang landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.

Keputusan itu diambil kerajaan negeri yang ditunjangi GRS-Barisan Nasional (GRS-BN) selepas turut mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Author

Pilihan Editor