KUALA LUMPUR: Jika mendengar suaranya menyanyikan lagu Gadis Melayu pasti ramai tidak tahu, penyanyi dan pelakon Zaki Yamani masih di bangku sekolah.
Remaja yang berusia 17 tahun itu bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
Zaki atau nama sebenarnya Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah terpilih sebagai ikon Pusat peningkatan akademik dan pakar dalam membantu pelajar SPM (PTTI).
Pengiktirafan itu diberi atas inisiatifnya mengikuti kelas tuisyen di PTTI sejak penghujung tahun lalu dengan sasaran keputusan 7A.
Zaki yang juga pemenang program Famili Duo musim kedua bersama abangnya Yamani Abdillah berkata, dia mahu memantapkan lima subjek sebagai persediaan SPM iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik dan Sains.
“Saya mengikuti kelas di PTTI sebab mahu memberi fokus pada lima subjek.
“Ini kerana, saya mahu ‘kejar’ semula pelajaran yang banyak tertinggal ekoran terbabit dengan kerjaya seni. Saya fikir, sibuk macam mana pun saya bekerja, pelajaran tetap menjadi keutamaan.
“Alhamdulillah, saya bertuah kerana cikgu di PTTI semuanya ‘sporting’ dan banyak membantu termasuk rakan-rakan di situ.
“Pendek kata, saya tak berasa terasing pun. Malah mereka menyambut baik.
“Diakui pada awal kelas tu agak kekok juga, tapi apabila dah lama saya mula faham apa yang diajar.
“Sesi yang diikuti memberi banyak kesan pada prestasi pelajaran saya. Macam subjek Matematik misalnya, ada peningkatan.
“Kalau soalan dari cikgu di sekolah, saya boleh jawab lebih baik berbanding dulu,” katanya.
Sehubungan itu, Zaki berkata, dia perlu memberikan contoh terbaik kepada semua pelajar baik dari segi disiplin mahupun keputusan peperiksaan.
“Sejujurnya saya sangat teruja apabila PTTI ambil saya sebagai ikon mereka.
“Seperkara yang saya suka di PTTI adalah mereka ajar kita lebih berdisiplin untuk datang ke kelas mengikut jadual ditetapkan.
“Untuk SPM 2023 saya menyasarkan 7A. Insya-Allah, kalau ada rezeki. Kalau tidak dapat, tak apa. Apa yang penting semua subjek lulus,” katanya.
Dalam masa sama, Zaki yang bercita-cita menjadi pensyarah berpesan kepada semua remaja dan golongan selebriti yang masih bersekolah untuk tidak mengabaikan pelajaran.
“Kepada golongan selebriti yang masih bersekolah, sibuk macam mana pun bekerja, kena cari tempat dan luangkan masa untuk menghadiri kelas tambahan atau tuIsyen untuk ‘cover’ semula apa yang tertinggal di sekolah.
“Selain ada kemahiran dalam bidang seni, perlu juga ada ilmu. Bukan apa, andai satu hari tidak terbabit dengan seni dan tidak menyambung pelajaran, sekurang-kurangnya kita tetap berilmu.
“Jadi, jangan sesekali abaikan pelajaran kerana ia akan membantu pada masa hadapan,” katanya.
Bempena kemenangan Zaki dalam Famili Duo baru-baru ini, PTTI menawarkan 10,000 buku percuma untuk semua pelajar SPM di seluruh Malaysia. Hubungi PTTI di Instagram @pttionline