MESKIPUN sudah berniaga apam balik hampir 25 tahun, Mohammad Puzee Mat Ajid, 63, masih mengekalkan jualan kuih berkenaan dengan harga sekeping 50 sen.
Menurut Puzee yang berniaga di Pantai Remis, Perak, harga jualannya itu mungkin tidak setimpal namun yang menjadi kepentingan buat dirinya adalah berniaga sambil menderma.
“Niat utama saya untuk membantu mereka yang kurang bermampuan dalam keadaan ekonomi mendesak hari ini.
“Rezeki ni Allah dah tetapkan, jadi tak perlu risau yang kita akan jatuh miskin kalau kita bersedekah,” katanya seperti dilapor The Star.
Katanya, jualan apam balik yang disifatkan murah itu juga tidak menjejaskan dirinya dalam membesarkan enam orang anaknya.
Malah, dia merasakan segala keperluan buat dirinya sekeluarga sentiasa mencukupi.
Bercerita tentang jualan, Puzee berkata, proses penyediaan melibatkan pengulian 10 kilogram (kg) tepung dengan campuran beberapa bahan lain untuk menghasilkan kira-kira 1,000 keping apam balik.
“Pada awalnya, saya meletakkan harga tiga keping apam balik RM1, kemudian menjadi lima keping RM2 dan terakhir sekeping 50 sen agar pelanggan mampu beli.
“Saya cuma mahu membantu pelanggan yang sempit kewangan, untung belakang cerita kerana saya percaya pada kekuatan rezeki dan sudah ada bahagian yang tersedia untuk saya,” katanya.
Jika anda menjejakkan kaki ke Pantai Remis, jangan lupa untuk mencuba apam balik jualan Puzee yang beroperasi setiap hari kecuali Jumaat, dari pukul 9 pagi hingga 3 petang.