HomeGlobalAbu mayat kapten 'Wild Boars' tiba di Thailand

Abu mayat kapten ‘Wild Boars’ tiba di Thailand

 

 

BANGKOK: Abu mayat Duangpetch Promthep, seorang daripada 12 remaja lelaki dari pasukan bola sepak “Wild Boars” Thailand yang terperangkap dalam gua di utara Thailand pada 2018, selamat tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi kira-kira 6.30 pagi (waktu tempatan).

Duangpetch, 17, merupakan kapten “Wild Boars” ditemukan tidak sedarkan diri di asramanya di Leicestershire pada 12 Februari dan meninggal dunia dua hari kemudian di United Kingdom.

Bagaimanapun, punca kematiannya masih belum dapat dipastikan.

Abu itu dibawa pulang oleh Pengerusi Yayasan Zico, Kiatisuk Senamuang yang juga bekas jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan Thailand.

Yayasan Zico, merupakan pertubuhan bukan kerajaan yang membantu Duangpetch mendapatkan biasiswa untuk melanjutkan pengajian di Brooke House College Football Academy di Leicester.

Proses pembakaran mayat diadakan di Leicester, England pada 28 Februari.

Ahli keluarga dan saudara mara turut berada di lapangan terbang bagi menerima abu berkenaan.

Ibu Duangpetch, Thanaporn Phromthep berkata mereka akan membawa abu itu pulang ke kampung halaman di Chiang Rai dan upacara keagamaan akan diadakan di sebuah kuil.

Beliau berkata, abu itu akan ditaburkan di Sungai Mekong di Chiang Saen pada Isnin.

Kisah Duangpetch diselamatkan bersama 11 rakan sepasukan lain yang berumur antara 11 dan 16 tahun dan penolong jurulatih berusia 25 tahun yang terperangkap di Gua Tham Luang di Chiang Rai selama lebih dua minggu pada 2018, telah menjadi tumpuan dunia. – BERNAMA

Authors

Pilihan Editor