SHAH ALAM: Pelakon, Afiq Muiz dilaporkan tidak pernah hadir ke mahkamah selepas isterinya, Pachara Apin memfailkan perceraian secara baik, sejak 26 Ogos tahun lalu.
Perkara itu dimaklumkan peguam syarie mewakili Pachara, Suriati Ab Ghani pada prosiding kes di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh, di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini, hari ini.
Hakim Syarie bertanya adakah defendan tidak pernah hadir ke mahkamah, dan peguam syarie mengesahkan defendan tidak pernah hadir.
Suriati memberitahu kepada mahkamah bahawa Afiq selaku defendan tidak pernah hadir atau respons terhadap permohonan anak guamnya itu meskipun penyampaian melalui iklan sudah dibuat.
Suriati menambah, pihaknya pernah cuba mencari Afiq namun gagal.
Suriati juga memaklumkan, ketidakhadiran defendan menyebabkan anak guamnya terpaksa membuat permohonan cerai menerusi tuntutan fasakh pada Oktober 2022.
Bukan itu sahaja, Suriati berkata, anak guamnya tidak pernah diberi nafkah sejak dua tahun lalu antara alasan utama Pachara membuat permohonan tuntutan fasakh untuk bercerai dengan suaminya di mahkamah hari ini.
“Defendan tidak beri nafkah sejak Mei 2021 hingga sekarang memang ditinggalkan Pachara,” katanya.
Pachara atau nama Islamnya, Nur Aaira Mahdeya, hari ini, membuat permohonan tuntutan fasakh terhadap Afiq di mahkamah berkenaan.
Dia yang berjubah hitam dan memakai pelitup muka hadir seorang diri ke mahkamah pagi ini.
Untuk rekod, fasakh bermaksud pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu perkara yang diharuskan oleh hukum Syarak.
Antara perkara-perkara yang mengharuskan fasakh ialah apabila suami atau isteri tidak diketahui di mana mereka berada selama tempoh lebih dari satu tahun.
Afiq dan Pachara mendirikan rumah tangga pada 2019 namun tidak dikurniakan cahaya mata.