HomeBeritaAgong titah kerajaan jalankan kajian, kenal pasti punca banjir kerap berlaku

Agong titah kerajaan jalankan kajian, kenal pasti punca banjir kerap berlaku

CYBERJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kerajaan menjalankan kajian bagi mengenalpasti punca banjir yang kini kerap berlaku setiap tahun.

Baginda bertitah, kajian itu perlu dilaksanakan dengan lebih teliti bagi mencari solusi untuk tempoh jangka pendek dan jangka panjang.

“Saya harap pihak kerajaan dapat memberi satu kajian yang teliti untuk menentukan usaha-usaha bagi mengurangkan bebanan banjir ini agar dapat diatasi untuk jangka pendek dan jangka panjang.

“Kalau dilihat dari segi jangka panjang saya harap projek-projek atau program tebatan banjir ini perlu dikaji dengan teliti, khususnya Sungai Pahang supaya dapat didalamkan kerana kita faham bahawa sungai-sungai di Pahang ini sudah nampak cetek sangat,” titah baginda seperti dilapor Kosmo.

Baginda bertitah demikian selepas mendengar taklimat daripada Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pahang, Che Adam A. Rahman di Pusat Pemindahan Banjir (PPS) Kampung Baru Sungai Chedong,Maran, hari ini.

Titah baginda lagi, setiap tahun sungai-sungai menjadi cetek dan apabila tiba musim banjir, air sungai melimpah ke tebing-tebing berhampiran.

“Mungkin dari teknikalnya perlu buat kajian oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Soal kos kita fikir kemudian dan pandangan ini juga mungkin tertakluk pada sungai-sungai kecil di bandar, longkang-longkanh kecil di tengah bandar, termasuk juga longkang atau parit yang tidak dikendali atau selenggara dengan baik yang mungkin menjadi asbab puncanya bermulanya masalah banjir di bandar-bandar,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda turut bertitah agar semua mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menjaga keselamatan dan kebersihan sepanjang berada di pusat pemindahan berkenaan.

Author

Pilihan Editor