HomeHiburanBenci kaki pukul, wanita bukan ‘punching bag’ - Ezzaty

Benci kaki pukul, wanita bukan ‘punching bag’ – Ezzaty

KUALA LUMPUR: Pelakon jelita, Ezzaty Abdullah meluahkan perasaannya yang sangat benci terhadap lelaki kaki pukul perempuan.

Baginya, tidak ada alasan sekecil zarah pun lelaki boleh memukul perempuan meskipun berbuat salah kerana wanita bukan dicipta untuk dijadikan ‘punching bag‘.

“Apa saja alasan dalam dunia ini, mana-mana perempuan walaupun isteri sendiri, tak boleh pukul.

“Tak ada satu alasan , sekecil zarah alasan pun you (lelaki) boleh pukul perempuan. Kalau dah tumbuk tu, I benci.

“I benci sangat lelaki pukul wanita,” katanya mengulas mengenai isu keganasan rumah tangga yang sedang hangat dibualkan netizen ketika ini.

Isteri kepada pelakon, Azwan Kombos itu bagaimanapun, menggesa wanita di luar sana untuk terus membawa isu sebegitu ke mahkamah.

“Jika pihak luar tahu tentang isu rumah tangga kita, itu luar bidang kuasa kita walaupun kita senyap,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kempen Ramadan 1444H TV AlHijrah bertemakan kempen Imarahkan Ramadan #EratkanJalinan di Zebra Square, di sini, pada Khamis.

Pada program itu, pihak media dan selebriti turut diberi peluang untuk merasai pengalaman menaiki bas dua tingkat TV AlHijrah dari Masjid Wilayah Persekutuan ke Zebra Square berkenaan.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan karier seninya, pelakon The Maid itu berkata, dua drama yang dilakonkannya bakal muncul serentak pada Ramadan nanti.

“Satu drama Kesempatan Kedua dengan 22 episod di TV AlHijrah bermula 23 Mac dan kedua drama premium Liar, adaptasi dari antarabangsa selepas High Councils di Astro Originals, bermula 25 Mac depan.

“Kesempatan Kedua saya sebagai Kayra yang banyak menyerahkan ketentuan pada Allah, dia dengar cakap semua orang walaupun hati sendiri tersakiti kadang-kadang.

“Untuk drama Liar (sebutan bahasa Inggeris) atau liar (sebutan bahasa Melayu) mana-mana sama sahaja, sebab memang ada sedikit liar dan Liar di situ,” katanya.

Mengulas mengenai penghijrahannya ke arah lebih baik, Ezzaty belum berhijab sepenuhnya, namun meminta peminat dan orang ramai sentiasa mendoakan dan memberi kata positif.

Ezzaty yang berkahwin dengan Azwan Kombos kini mempunyai dua cahaya mata.

Author

Pilihan Editor