SHAH ALAM: Bekas isteri vokalis Bunkface, Aida Azira membantah permohonan Sam meminda nafkah ke atas anak lelaki mereka, Maleeq di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, di sini, pada Selasa.
Peguam mewakili Aida Azira, Liyana Sihar menjelaskan, pihaknya tidak mendapat sebarang maklumat terperinci mengenai pindaan yang ingin dimohon Sam.
Malah, katanya Aida, 36, turut meminta Sam mengemukakan bukti sekiranya dia tidak mempunyai pendapatan atau tawaran persembahan yang menyebabkan dia ingin meminda nafkah anak mereka.
“Dia kenalah buktikan kalau betul tiada job atau pendapatan. Tapi tengok di media sosial, macam tak sama pun situasinya dengan apa yang dia cakap.
“Sebab itulah saya bantah kerana nafkah anak memang tanggungjawab dia dan wajib dibayar secukupnya,” katanya.
Ditanya kali terakhir Sam, 35, bertemu Maleeq, 6, Aida berkata, sudah enam bulan penyanyi itu tidak berjumpa dengan anak mereka.
Bagaimanapun, Aida mendedahkan, anak ada cuba menghubungi bapanya itu, tetapi panggilan tidak dijawab.
“Mungkin dalam lima atau enam bulan sejak tahun lalu. Dia yang tak jumpa anak. Sudah tentu anak ada mencari dia.
“Anak saya cuba untuk menghubungi dia tetapi panggilan tidak dijawab. Hubungan kami pun macam itu sajalah. Berhubung hanya untuk anak,” katanya.
Sementara itu, Sam dilaporkan enggan memberi sebarang kenyataan berkaitan pindaan nafkah.
Terdahulu, Sam atau nama sebenarnya Shamsul Annuar Mohd Baharom dan Aida Azira Hussin hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari bagi sebutan kes pindaan nafkah mereka semalam.
Sam hadir ditemani adiknya yang juga pelakon, Siti Saleha.
Sam dan Aida berkahwin pada 2015 dan bercerai selepas kira-kira hampir empat tahun hidup bersama, dan dikurniakan seorang anak lelaki.