HomeHiburanDiana Danielle bayar sewa, berhak halang Farid Kamil masuk rumah

Diana Danielle bayar sewa, berhak halang Farid Kamil masuk rumah

 

CYBERJAYA: Kontroversi membabitkan kisah rumah tangga pelakon, Diana Danielle kini menjadi perhatian warga net apabila peguamnya menyatakan Diana mempunyai hak menghalang suaminya, Farid Kamil dari memasuki kediaman mereka selepas memfailkan cerai pada 10 Mac lalu.

Peguam syarie Diana, Datuk Akberdin Abdul Kadir menjelaskan bahawa anak guamnya itu mempunyai hak untuk membenarkan atau menghalang sesiapa saja daripada memasuki rumah berkenaan.

“Rumah itu disewakan oleh anak guam kami, jadi dia ada hak untuk membenarkan sesiapa masuk atau tidak ke dalam rumah tersebut.

“Hubungan mereka juga memang sudah tidak baik, sebab itu anak guam saya ke mahkamah (memfailkan penceraian),” katanya seperti dilapor mStar.

Dalam pada itu, Akberdin berkata, Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang diperintahkan mahkamah akan digunakan bagi mencari jalan penyelesaian sebelum hasil perbincangan dikemukakan kepada mahkamah.

“Sekiranya JKP tidak dapat menemui jalan penyelesaian atau mendapati berlaku shiqaq, Mahkamah Syariah akan melantik hakam yang akan memberikan kata putus bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga pasangan berkenaan,” jelasnya.

Terdahulu, Diana memfailkan penceraian terhadap Farid, namun aktor itu enggan melafazkan talak terhadap isterinya kerana masih ada perasaan sayang.

Diana memfailkan cerai tersebut pada Isnin mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, Selangor.

Diana dalam permohonannya menyatakan tiada persefahaman selain shiqaq iaitu perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup sebagai suami isteri sebagai punca dia memfailkan penceraian terhadap Farid.

Diana diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kadir manakala Farid diwakili Fakhrul Azman Abu Hassan.

Diana difahamkan melantik rakan rapatnya sebagai wakil manakala Farid belum memberi sebarang nama bagi pihaknya untuk proses itu.

Hakim Syarie, Shukran Yusof menetapkan 28 Mac ini untuk membolehkan Farid memaklumkan mahkamah wakil bagi pihaknya dalam JKP tersebut.

Untuk rekod, pasangan yang sering dikatakan ‘bagai pinang dibelah dua’ itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012.

Hasil perkahwinan itu, Diana dan Farid dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10 dan Nur Aurora, 8 tahun.

Author

Pilihan Editor