CYBERJAYA: Penyanyi, Mark Adam kini terpaksa mengambil alih kerja pembinaan rumah ibu mertuanya setelah kontraktor yang diupah lari.
Mark atau Fikri Mark Abdullah, 44, berkata, tindakan kontraktor terbabit amat mengecewakan dirinya kerana hajatnya untuk menghadiakan rumah kepada keluarga mentuanya itu terbantut.
“Saya sedih sebab impian untuk hadiahkan rumah kepada ibu dan ayah mentua tidak kesampaian, tapi tak apa saya anggap ini satu pelajaran buat saya,” katanya seperti dilapor mStar.
Menurut Mark, meskipun terpaksa menanggung kerugian dek sikap sebilangan manusia, dia akan meneruskan kerja pembinaan bersama rakan serta abang iparnya.
“Status sekarang rumah itu saya kena teruskan menyambung projek tersebut dengan hasil tangan sendiri, buat sendiri dengan rakan-rakan serta dibantu bersama abang ipar.
“Walaupun mereka tolong pastinya akan ada bayaran untuk itu, sejujurnya saya terpaksa menanggung kerugian sebelum ini tetapi saya anggap ini sebagai satu ujian,” katanya.
Pada masa sama, penyanyi yang pernah popular dengan lagu ‘Marry Me’ itu menyifatkan segala yang berlaku itu dapat dijadikan teladan.
“Kita tak tahu betapa jahatnya orang di sekeliling kita.
“Kita tak tahu siapa yang kita boleh percaya, siapa yang tidak. Tapi kalau boleh kita kembalilah ke jalan yang baik,” ujarnya.