KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawainya dan tiga lagi individu lain termasuk seorang wanita pada Khamis lepas kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah sebanyak RM400,000 bagi mengelakkan siasatan melibatkan kes program Jana Wibawa.
Menurut sumber, wanita berkenaan bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan SPRM, manakala tiga suspek lain kini direman hingga esok.
Sumber itu juga berkata SPRM kini sedang mengesan seorang lelaki dikenali ‘Datuk Roy’ yang dipercayai perancang utama dalam kes rasuah melibatkan siasatan kes berkenaan.
“Lelaki itu yang berusia lingkungan 50-an sebelum ini pernah dituduh di mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan rasuah,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara berkenaan.
“SPRM sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawainya sekiranya didapati terbabit dalam sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya.- BERNAMA