KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri memutuskan untuk memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) kepada UMNO berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya telah merujuk kepada Perlembagaan dan Peraturan-Peraturan Persidangan UMNO mengenai usul tambahan tersebut dan memberi pengecualian berdasarkan Seksyen 70 Akta 832.
“Kementerian telah meneliti mengenai ketetapan yang dibuat oleh Perhimpunan Agung UMNO 2022 daripada Setiausaha Agung UMNO pada 3 Mac 2023,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan UMNO tahun ini diluluskan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 14Â Januari lepas.
Ahad lepas, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengesahkan usul berkenaan membuktikan keabsahan keputusan dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 seterusnya menamatkan polemik mengenainya. – BERNAMA