HomeNiagaKerajaan tak galak peniaga kecil buat jualan Rahmah

Kerajaan tak galak peniaga kecil buat jualan Rahmah

BATU CAVES: Memahami beban yang terpaksa ditanggung, kerajaan tidak menggalakkan peniaga kecil-kecilan dan gerai jalanan untuk terbabit dalam jualan Rahmah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, jualan Rahmah hanya digalakkan ke atas jenama besar, pengusaha atau pemborong yang besar.

“Ini kerana, jenama besar mereka ada kemampuan untuk menjual barang dengan harga murah pada skala besar, beza dengan peniaga kecil-kecilan dengan modal kecil mereka tidak mampu menawarkan harga Rahmah.

“Sebelum wujud Kerajaan Perpaduan ini, banyak syarikat besar memberi diskaun menurunkan harga jualan, tiada isu
Rahmah pada waktu itu.

“Cuma menerusi Payung Rahmah ini, kita kolaborasikan, kita sistemkan agar rakyat dan peniaga dapat manfaat.

“Contoh kita kena perbetulkan persepsi Rahmah ini kerana kerajaan tak pernah galakkan rakyat buka gerai, buka restoran jual harga Rahmah, itu bukan konsep kerajaan.

“Kerajaan cuma galakkan kedai-kedai yang sudah ada nama seperti India Muslim, Nasi Kandar, restoran terkenal untuk terbabit dalam jualan Rahmah, ” katanya pada sidang media.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Jualan Rahmah Bersama Sabella di Ibu Pejabat (HQ) Sabella Holdings Sdn Bhd (Sabella) Batu Caves, di sini.

Turut hadir, Pengarah Penguatkuasa Pencegahan KPDN, Azman Adam dan Ketua Pegawai Eksekutif Sabella, Mohd Sufian Sulaiman.

Pada majlis itu, Sabella mengumumkan pengeluaran sebanyak 700,000 pakaian yang dijual pada harga Rahmah bermula serendah RM8 di enam lokasi terpilih seluruh negara, bermula 23 Mac hingga 20 April depan.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, sebanyak 12,000 barangan telah diturunkan harga sehingga Jun nanti.

“Antara jenis barangan adalah barang keperluan harian yang dijual di pasaraya seperti Mydin dan sebagainya yang terbabit libat urus bersama kerajaan dalam inisiatif Rahmah,” katanya.

Author

Pilihan Editor