HomeBeritaMesyuarat ditempohkan 10 minit sebelum proses belah bahagian dilaksanakan

Mesyuarat ditempohkan 10 minit sebelum proses belah bahagian dilaksanakan

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul membuat keputusan menempohkan mesyuarat Dewan Rakyat itu selama 10 minit sebelum proses belah bahagian dilaksanakan, sepanjang tempoh persidangan kali ini.

Beliau berkata, mesyuarat Jawatankuasa Pemilih yang dihadiri Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya), Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang), Rafizi Ramli (PH-Pandan) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) bersetuju bagi menambah baik proses belah bahagian.

“Ia termasuk mengambil kira jarak perjalanan di antara blok utama, blok ini yang menempatkan Dewan Rakyat dengan blok Ahli Parlimen yang ada di belakang itu yang agak jauh maka adalah sukar bagi semua Yang Berhormat untuk berada dalam Dewan dalam masa dua minit seperti yang termaktub dalam Peraturan Mesyuarat,” katanya.

Beliau berkata, setiap kali sebelum proses belah bahagian, loceng akan dibunyikan selama dua minit dan persidangan mesyuarat akan ditempohkan selama 10 minit bagi memberi masa kepada semua Ahli Parlimen untuk berada dalam Dewan bagi mengambil bahagian dalam proses itu.

Johari berkata, loceng kemudiannya akan dibunyikan semula selama dua minit selepas persidangan mesyuarat ditempohkan bagi membolehkan persidangan dijalankan dalam proses belah bahagian dilaksanakan.

“Maksudnya loceng pertama berbunyi dua minit itu loceng seperti yang termaktub dalam Peraturan Mesyuarat, selepas itu saya akan beri 10 minit (masa) untuk Yang Berhormat bergerak daripada mana pun untuk berada dalam Dewan ini, selepas itu loceng akan dibunyikan sekali lagi selama dua minit.

“… isunya saya masih ingat lagi dalam persidangan Parlimen yang lepas, masa yang dibunyikan loceng itu tak cukup (untuk Ahli Parlimen) sampai ke sini (Dewan), ada kes yang seorang Ahli Parlimen wanita jatuh disebabkan bergegas, mengambil kira itu saya beri 10 minit,” katanya.

Johari berkata, perkara itu dilaksanakan berdasarkan Peraturan Mesyuarat 12 (2), 13 (4) dan 99. – BERNAMA

 

Authors

Pilihan Editor