HomeNiagaPetronas catat pendapatan RM375.3 bilion, rekod tertinggi dalam sejarah

Petronas catat pendapatan RM375.3 bilion, rekod tertinggi dalam sejarah

 

CYBERJAYA: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mencatat pendapatan dan keuntungan selepas cukai (PAT) tertinggi dalam sejarah sebanyak RM375.3 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 berbanding RM248 bilion tempoh sama tahun sebelumnya.

Malah, PAT syarikat minyak nasional itu turut meningkat 100 peratus kepada RM101.6 bilion daripada RM50.9 bilion bagi tahun kewangan sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik berkata, peningkatan prestasi itu disumbang oleh kesan harga yang lebih baik bagi produk utama seiring dengan harga penanda aras yang lebih tinggi.

“Sementara tahun 2022 membolehkan kami memanfaatkan lonjakan minyak dan gas, tahun lalu juga memberikan isyarat ketidaktentuan terhadap permintaan-bekalan yang didorong oleh peralihan mendadak dalam pasaran serta peralihan tenaga yang dipercepatkan.

“Walaupun kami maju dengan kedudukan yang lebih kukuh, Petronas akan terus memantapkan rantaian nilai bersepadu kami dengan tumpuan yang lebih memfokuskan kepada kecemerlangan komersial dan operasi.

“Kumpulan akan memberi tumpuan kepada penyampaian strategi pertumbuhan tiga serampang serta aspirasi Pelepasan Sifar Karbon Bersih menjelang 2050 secara berdisplin termasuklah pengurusan komitmen kewangan dan obligasi hutang secara berhemat,” katanya seperti dilapor Astro Awani hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman Prestasi Kewangan Kumpulan Petronas di  Kuala Lumpur, pada Isnin.

Namun jelas beliau, industri minyak dan gas berpotensi menyaksikan harga menyederhana pada 2023 berikutan jangkaan kelembapan ekonomi, walaupun berdepan dengan cabaran ketidaktentuan pasaran yang berpanjangan.

“Dalam persekitaran ini, Petronas akan terus memacu kecemerlangan operasi dalam perniagaan terasnya sambil memenuhi sasaran pertumbuhan dan kemampanannya,” maklumnya.

Author

Pilihan Editor