KUALA TERENGGANU: Suasana di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Panjang menjadi ceria dengan kemunculan pasangan robot ‘Bumblebee’ dan ‘Herby’ menyambut murid Tahun Satu yang memulakan sesi persekolahan hari ini.
Kira-kira 80 murid Tahun Satu yang memulakan sesi persekolahan di SK Pasir Panjang teruja apabila Bumblebee dan Herby meluangkan masa lebih setengah jam menyambut kehadiran mereka di pintu pagar sekolah.
Guru Besar SK Pasir Panjang, Rosli Abd Razak berkata, idea membawa pasangan robot itu bagi menceriakan suasana sesi persekolahan hari pertama, dicetuskan guru serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
“Murid dilihat gembira dan teruja didekati Bumblebee dan Herby pada sesi persekolahan bermula jam 7.30 pagi ini. Kita harap ini dapat memberi semangat dan keseronokan kepada semua murid, terutama Tahun Satu untuk belajar,” katanya.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Abdul Muie Ngah berkata, 53,858 murid sekolah rendah, termasuk 22,193 murid Tahun Satu memulakan persekolahan di 352 sekolah rendah dan 119 sekolah menengah seluruh negeri, bersama 21,155 pelajar Tingkatan Satu dan 10,510 murid prasekolah.
“Secara keseluruhan, seramai 135,496 murid Tahun Satu hingga Tahun Enam mendaftar untuk sesi persekolahan tahun ini. Jumlah pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Enam pula seramai 100,169 orang,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Terdahulu, Abdul Muie mengadakan lawatan sempena hari pertama sesi persekolahan di SK Lintang, Jerangau, Dungun.