PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini mengesahkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) berkaitan kesihatannya.
Beliau berkata, Najib telah mendapat kebenaran daripada Jabatan Penjara dan diberi pelepasan selama beberapa hari bagi tujuan itu.
“Ini adalah permohonan biasa, saya telah dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Penjara bahawa beliau (Najib) dibawa ke hospital untuk menjalani rawatan,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.
Semalam beberapa media melaporkan Najib menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk beberapa hari selepas dipercayai mengalami jangkitan pada paru-paru.
Najib mula menjalani hukuman penjara bermula Ogos tahun lepas selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Saifuddin Nasution ketika diminta mengulas perkembangan kesihatan Najib menegaskan bahawa semua tahanan mempunyai hak untuk mendapatkan rawatan, yang akan diuruskan oleh Jabatan Penjara. – BERNAMA