KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan supaya pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi fasa dua diselesaikan pada pertengahan bulan Ramadan atau sekurang-kurangnya awal April, sebelum sambutan Aidilfitri.
Beliau berkata, arahan itu dimaklumkan kepada Kementerian Kewangan, sebagai usaha meringankan beban mereka yang memerlukan, terutama golongan B40.
“Saya telah memberitahu Kementerian Kewangan dan agensi terlibat supaya meringankan (bebanan) mereka dengan bantuan STR fasa dua yang harus diselesaikan pada pertengahan Ramadan atau awal April.
“Insya-Allah dua minggu sebelum (hari) raya (Aidilfitri) kita akan keluarkan fasa dua untuk golongan B40 bagi mendapat STR masing-masing,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mengenai penambahbaikan STR berbanding bantuan yang diberikan sebelum ini dan bagaimana kerajaan memastikan sumbangan dapat kepada golongan sepatutnya.
Mengulas mengenai penambahbaikan bantuan STR, Anwar berkata, dalam Belanjawan 2023, keluarga dalam kumpulan miskin tegar layak menerima sumbangan hingga maksimum RM3,100, biarpun Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) berjumlah RM2,500 masih diagihkan.
“Ada perincian kategori, contohnya (isi rumah) yang mempunyai lima anak atau tiga anak dan kadar tambahan yang penting iaitu untuk miskin tegar, tambahan RM600 daripada peruntukan awal.
“Untuk BKM pula, ibu bapa tunggal mempunyai anak dan warga emas, RM500 untuk ibu bapa tunggal dan untuk warga emas sebanyak RM300,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan kini membuka permohonan baharu untuk STR, dan meminta individu yang layak untuk membuat permohonan segera sebelum 31 Mac supaya pembayaran dapat dikeluarkan pada Ramadan ini.
“Setakat 13 Mac seramai 320,103 orang telahpun mendaftar dan terima,” katanya.
Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2023 berkata STR Fasa 1 untuk golongan B40 diberikan kepada isi rumah berpendapatan kurang RM2,500 yang layak, untuk menerima sumbangan sehingga RM2,500 bergantung kepada bilangan anak.
Kerajaan juga akan memberi sumbangan tambahan RM600 kepada isi rumah penerima STR termiskin mengikut data e-Kasih, dengan keluarga dalam kumpulan miskin tegar menerima terima sumbangan sehingga maksimum RM3,100.
STR akan membantu meringankan beban sara hidup hampir sembilan juta penerima dengan peruntukan disediakan hampir RM8 bilion. – BERNAMA