HomeBeritaJangan buang duit, saya dan PM tak ambil ganja – Rafizi Ramli...

Jangan buang duit, saya dan PM tak ambil ganja – Rafizi Ramli  

 

CYBERJAYA: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengakui beliau tidak mengenali mana-mana pihak yang bertanggungjawab menghantar bungkusan berisi ubat gigi ekstrak daun ganja, yang dihantar ke alamatnya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pulau Meranti, Jumaat lalu.

Katanya, bungkusan itu telahpun diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.

Malah, beliau turut menegaskan tindakan pihak terbabit disifatkan ibarat ‘membuang duit’.

“Dua-dua kami tidak ambil ganja.

“Jadi itu pembaziran dan bungkusan itu sudah dihantar ke polis,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Rafizi berkata demikian bagi mengulas isu mengenai rampasan berkenaan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, polis menerima laporan dibuat oleh Bahagian Keselamatan Pusat Pentadbiran Kerajaan Putrajaya yang memaklumkan menerima panggilan memberitahu terdapat satu bungkusan atas nama dua ahli politik.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima bungkusan itu disyaki mengandungi barang terlarang, memandangkan sebuah pejabat kerajaan di Putrajaya turut menerima bungkusan mengandungi daun ganja, minggu lalu.

Rafizi turut memberikan komen bahawa beliau tidak melihat secara langsung bungkusan berkenaan kerana ia telah diambil oleh polis.

Author

Pilihan Editor