HomeBeritaPolitikTiada pemimpin yang 'bersih' 100 peratus - Shahaniza Shamsuddin

Tiada pemimpin yang ‘bersih’ 100 peratus – Shahaniza Shamsuddin

SHAH ALAM: Calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin menyifatkan dalam mana-mana parti sekalipun, belum wujud pemimpin yang benar-benar bersih.

“Ada tak pemimpin yang betul-betul bersih dan disenangi rakyat, jawapannya tak ada.

“Baik dalam mana-mana parti. Baik PKR, Amanah, DAP, PAS, Pejuang, Armada, Bersatu, tak ada yang 100 peratus bersih atau baik.

“Jadi tidak sepatutnya timbul isu mempersoalkan figura pemimpin dari parti politik sendiri, ahli parti perlu hormat institusi parti dan memahami Perlembagaan parti.

“Betulkan niat kenapa kita masuk UMNO, perjuangan untuk bantu rakyat, jangan jadi gunting dalam lipatan, talam dua muka itu agenda diri bukan agenda rakyat, “katanya pada Wacana Siri 388: Pemilihan UMNO: ‘Strategi Kembali Berkuasa?’ yang disiarkan menerusi platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panelis adalah calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii dan Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya manakala Azlan Shah Nabees Khan bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Shahaniza menegaskan anggota parti perlu hormati institusi berkenaan dengan memahami perlembagaan dan matlamat UMNO serta tidak menjadikannya sebagai kepentingan peribadi.

Beliau bersama Razlan dan Fathul Baru merupakan antara tiga daripada 95 calon yang bertanding bagi merebut 25 kerusi Majlis Kerja Tertinggi UMNO, pada pemilihan parti peringkat bahagian dan pusat, Sabtu ini.

Mengulas lanjut mengenai pemimpin tertentu yang lantang mengkritik kepimpinan UMNO selama ini, Shahaniza berkata perkara ini tidak sepatutnya timbul di kalangan pemimpin tertinggi parti mempersoalkan tentang pemimpin dia sendiri.

“Saya selalu cakap kalau nak masuk UMNO kena baca dulu perlembagaan UMNO, kamu faham tak penubuhan UMNO ini untuk apa?Apa niat kita masuk?

“Adakah niat kita untuk kepentingan diri atau perjuangan. Bila niat untuk diri sendiri dia tak bawa parti,” ujarnya.

Mengenai pemilihan kali ini, beliau sedikit skeptikal akan berlaku perpecahan ditambah dengan cerita yang tidak enak didengar yang akan menyebabkan persepsi buruk terhadap UMNO,

“Alhamdulillah siri pemilihan kali ini walaupun ada juga kes-kes terpencil yang kontroversi segalanya berjalan lancar,” katanya.

 

 

Author

Pilihan Editor