HomePendidikanMudahkan pelajar, KPM beri kelonggaran hadir sekolah tanpa pakaian seragam

Mudahkan pelajar, KPM beri kelonggaran hadir sekolah tanpa pakaian seragam

 

CYBERJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kelonggaran kepada murid dan pelajar yang kurang berkemampuan untuk hadir ke sekolah tanpa memakai pakaian seragam sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kelonggaran itu diberikan bagi memudahkan ibu bapa khususnya yang terkesan akibat banjir tempoh hari.

“Dalam konteks di Johor misalnya, kita (KPM) beri ruang kepada mereka ini supaya datang ke sekolah walaupun tanpa memakai pakaian seragam.

“Yang penting asalkan berbaju, sebab kita tak nak beban hanya soal baju (seragam) itu, mereka dinafikan daripada pendidikan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Membangunkan Malaysia Madani Sektor Pendidikan di Institut Aminuddin Baki, Bandar Estek, Nilai pada Selasa.

Maklumnya lagi, KPM turut bersetuju untuk memberi kebenaran kepada pelajar yang kurang mampu memakai t-shirt yang menggambarkan sekolah mereka bagi menggantikan pakaian kokurikulum atau badan beruniform.

“Kita bersikap bertolak ansur dalam perkara ini sesuai dengan keadaan kerana sedar dengan kos penyediaan yang tinggi selain masalah banjir yang sebahagian tempat belum pulih sepenuhnya,” jelasnya.

Author

Pilihan Editor