KANGAR: Peniaga pasar pagi atau “Nat” diminta agar mengutamakan kebersihan di tempat berniaga kerana kawasan itu antara lokasi popular yang menjadi tumpuan pelancong dan masyarakat tempatan mendapatkan barangan keperluan harian.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, menerusi Kempen Nat Bebas Sampah yang diadakan, peniaga khususnya perlu meningkatkan aspek kebersihan ketika dan selepas operasi perniagaan kerana persekitaran yang bersih akan menarik lebih ramai pelanggan ke premis mereka.
“Kempen Nat Bebas Sampah diadakan selaras dengan matlamat di bawah Agenda Perlis Bersih Sihat (2021-2025)…kerajaan negeri juga merancang untuk memperluas promosi dan kempen ini kepada semua pasar malam dan pasar tani di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan ketika program “Walkabout” Menteri Besar Perlis ke Nat Behor Lateh sempena Kempen Nat Bebas Sampah Negeri Perlis di sini hari ini.
Mohd Shukri berkata, sekiranya aspek kebersihan dipertingkatkan, kawasan perniagaan seperti Nat dan kedai makan mampu menjadi tarikan pelancongan seterusnya meningkatkan ekonomi penduduk setempat.
“Usaha ini tidak seharusnya diletakkan pada bahu kerajaan dan agensi sahaja, sebaliknya tanggungjawab itu perlu dipikul semua pihak termasuk peniaga,” katanya.
Beliau berkata kempen itu turut mempromosikan amalan kitar semula yang boleh dilakukan peniaga untuk menguruskan sisa perniagaan dengan lebih baik dan teratur. – BERNAMA