HomeHiburanSaya tak pernah curang, spin selagi boleh - Puteri Sarah

Saya tak pernah curang, spin selagi boleh – Puteri Sarah

PETALING JAYA: Puteri Sarah Liyana menafikan dakwaan suaminya yang juga pengarah sensasi, Syamsul Yusof bahawa dirinya curang dengan bekas kekasih.

Malah, pelakon Aku Seorang Perempuan itu, mendakwa Syamsul cuba berusaha memutar belit situasi.

Puteri Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, turut mempersoalkan mengapa suaminya itu baru kini memfailkan tuntutan nusyuz.

“Kenapa baru sekarang nak failkan nusyuz sedangkan masalah ini sudah berlaku sejak empat tahun lalu. Apa yang dia mahukan lagi?

“Buatlah apapun kerana saya tidak takut. Saya yakin saya di pihak yang benar.

“Cuma saya ingin ingatkan yang mereka (Syamsul dan pihak ketiga) sekarang ini sedang dalam siasatan di bawah satu akta kesalahan jenayah syariah,” katanya, dipetik Kosmo Online.

Sarah juga mendedahkan, mereka yang terlibat dalam krisis rumah tangganya sudah dipanggil pihak berkuasa dan sedang menunggu tindakan undang-undang.

“Mereka pun sudah dipanggil untuk beri keterangan dan saya sedang menunggu tindakan lanjut dari mahkamah.

“Jadi siapa yang nusyuz? Segala kebenaran akan terbongkar. Tunggu dan lihat. Nak sangat kata saya curang. ‘Spin’ selagi boleh,” katanya.

Terdahulu Syamsul memfailkan tuntutan nusyuz terhadap isteri pertamanya itu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.

Pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu memberitahu, antara alasan tuntutan nusyuz yang difailkan terhadap Sarah adalah kerana wanita itu masih berhubung dengan bekas kekasihnya yang kini berstatus suami orang.

“Selama ini apa yang berlaku ke atas rumah tangga, saya banyak diam. Rasa tak elok nak kongsi hal ini kepada umum.

“Saya sudah memendam rasa sebagai suami. Dalam dunia ini, tiada suami yang boleh terima apabila isterinya curang dengan suami orang lain. Saya tahu Sarah masih berhubung dengan bekas kekasihnya sewaktu di zaman kolej lagi,” dedah Syamsul.

Tarikh sebutan semula kes tuntutan nusyuz Syamsul terhadap Sarah akan disambung semula pada 6 April depan.

Author

Pilihan Editor