HomeMV+EksklusifSongket 'carpet' RM45,000 pertama di dunia

Songket ‘carpet’ RM45,000 pertama di dunia

KUALA LUMPUR: Lagu Kain Songket yang dilantunkan primadona, Puan Sri Saloma seringkali berlegar dalam FYP (for your page) TikTok.

‘Kain songket pakaian anak Melayu,
Tapi sayang tak boleh dipakai selalu, kerana jemu mata memandang, tak seperti batik basahan… ‘

Tahukah anda, songket sebenarnya adalah tenunan dan kehalusan hasil alam Melayu menggunakan benang emas dan perak?

Seperti batik asli Malaysia, proses tenunan songket tempatan ini juga rumit, menggunakan mesin tradisional untuk menghasilkan corak yang jarang ditemukan, yang berkemahiran tinggi sahaja boleh melakukannya.

Jadi, tidak hairanlah jika ada pelanggan daripada golongan kerabat dan bangsawan sanggup berhabis puluhan ribu ringgit dek keaslian dan corak tersendiri di atas kain songket.

Golongan ini kebiasaannya lebih menghargai nilai yang ada pada kain songket bukan kerana benang emas semata-mata, namun cara penyimpanannya untuk kekal ‘terletak’ dan tidak mudah rosak juga bukan seperti lipatan kain biasa.

Pengurus Kuala Terengganu Songket Eksklusif Asli, Sabri Yusof dari Songket Kuala Terengganu menerima tempahan bernilai RM45,000 bagi menghasilkan songket daripada rekaan asal permaidani Turki.

Anak jati Terengganu itu berkata, untuk menghasilkan semula dari permaidani ke atas kertas graf mengambil masa lima bulan sebelum proses tenunan bermula.

“Pelanggan berkenaan mahu rekaan permaidani miliknya dijadikan songket.

“Ini kali pertama kami buat, malah songket permaidani ini adalah pertama di dunia syukur rekaan pada kertas geraf sudah siap selepas lima bulan.

“Sekarang fasa menenun menggunakan benang emas oleh pekerja kami yang sangat berpengalaman,” katanya kepada MEDIA VARIASI pada Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2023 di Kompleks Kraftangan Malaysia, Jalan Conlay.

Songket berharga RM12,900

Bertemakan ‘Ini Kraf Malaysia’, HKK 2023 bertujuan memupuk kesedaran dan menambah pengetahuan masyarakat terhadap produk kraf keluaran tempatan.

HKK 2023 menyasarkan janaan nilai jualan sebanyak RM16 juta serta kehadiran seramai 185,000 pengunjung, selain ia turut dimeriahkan dengan pembabitan 550 usahawan serta komuniti kraf, majoritinya terdiri daripada golongan B40.

Dalam pada itu, Songket Kuala Terengganu yang eksklusif boleh didapati sehingga bernilai RM12,900 yang menggunakan benang emas.

Songket Kuala Terengganu turut ditempah Sultan Selangor, Sultan Perlis, Menteri Besar Pahang, Menteri Besar Kedah, bekas Presiden Indonesia, Megawati Soekarnoputri dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Malah ia menjadi pilihan pereka fesyen terkenal, Datuk Radzuan Radziwill, pemilik jenama pakaian Elrah iaitu El Azman dan pendakwah selebriti, Imam Muda Asyraf.

“Saya mewarisi kemahiran datuk saya dalam menghasilkan batik, tekap, tenunan songket dan semua berkaitan.

“Kraf kami bernilai tinggi kerana kualiti, asli, kemas dan menggunakan benang emas.

“Cabaran songket pada hari ini adalah lambakan songket India yang tiruan di pasaran, ” katanya.

 

Author

Pilihan Editor