MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali kelihatan hadir seperti biasa ke Pejabat Ketua Menteri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
Sulaiman tiba di Kompleks Seri Negeri dari kediaman rasmi Ketua Menteri di Seri Bendahara pada pukul 8.59 pagi tadi, walaupun peletakan jawatannya sebagai Ketua Menteri diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam.
Namun tidak dapat dipastikan sama ada Sulaiman meneruskan tugas sebagai Ketua Menteri atau sekadar berjumpa dengan kakitangannya.
Spekulasi pertukaran Ketua Menteri Melaka mula dilaporkan media sejak semalam susulan tular maklumat dalam aplikasi WhatsApp mengenai Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Ketua Menteri yang baharu akan berlangsung Jumaat ini.
Antara nama yang disebut-sebut menggantikan Sulaiman sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu ialah ADUN Tanjung Bidara merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Sementara itu, cubaan pengamal media yang menunggu di pintu masuk Kompleks Seri Negeri sejak pagi tadi untuk mendapatkan reaksinya gagal.
Semasa meninggalkan pejabatnya, Sulaiman hanya membuka tingkap kenderaan rasminya serta menyusun sepuluh jari sebelum berlalu pergi pada pukul 11 pagi. – BERNAMA