HomeTeknologiTikTok hadkan 'screen time' pengguna remaja kepada 60 minit sehari

TikTok hadkan ‘screen time’ pengguna remaja kepada 60 minit sehari

CYBERJAYA: Aplikasi media sosial terbesar, TikTok akan mengehadkan screen time bagi pengguna berusia 18 tahun ke bawah kepada 60 minit sehari.

Dalam satu kenyataan TikTok memaklumkan, tetapan itu bagaimanapun boleh diubah dengan memasukkan kod untuk terus melayari aplikasi berkenaan.

Pada masa sama, TikTok juga akan memaparkan notis kepada pengguna apabila screen time mereka melangkaui had 100 minit, lapor Daily Mail.

Selain itu, direct messaging hanya boleh diguna oleh mereka yang berusia 16 tahun ke atas manakala bagi siaran langsung di TikTok, individu berusia 18 tahun ke atas sahaja dibenarkan menjadi host.

Bagi menjaga isu keselamatan remaja di bawah umur, TikTok akan memastikan kesemua akaun pengguna yang berusia 13 hingga 15 tahun ditetapkan secara automatik kepada mode private.

Malah, syarikat yang berpangkalan di China itu juga sedia memberi ruang kepada ibu bapa dan penjaga mengawal had waktu anak-anak dalam menggunakan aplikasi berkenaan menerusi ‘TikTok Family Pairing’.

Difahamkan TikTok mengumumkan perkara sedemikian susulan kontroversi yang berlaku di Amerika Syarikat sehingga penggubal undang-undang dan agensi kerajaan mengharamkan aplikasi itu kerana dakwaan aplikasi terbabit ‘menuai banyak data sensitif’.

Meskipun ditentang teruk oleh kerajaan Amerika Syarikat, kajian dari Pusat Penyelidikan Pew pada Ogos lalu mendapati hampir 67 peratus remaja di negara terbabit menggunakan aplikasi TikTok dan 16 peratus daripada jumlah tersebut ‘sentiasa’ menggunakannya.

Justeru, TikTok mengambil langkah berjaga-jaga dengan memperkenalkan inisiatif berkenaan bagi memastikan tiada sebarang isu negatif timbul membabitkan penggunaannya dengan remaja bawah umur.

Author

Pilihan Editor