HomeBeritaWarga emas maut ketika lintas jalan pergi masjid

Warga emas maut ketika lintas jalan pergi masjid

MARANG: Hasrat seorang warga emas untuk mengerjakan solat di masjid tidak kesampaian apabila maut dilanggar kereta ketika melintas jalan di jalan utama Kuala Terengganu–Kuantan hadapan Masjid Rhu Muda, Kampung Seberang Marang, di sini, malam tadi.

Mangsa, Esah Awang, 72, dipercayai melintas jalan untuk menunaikan solat di Masjid Rhu Muda.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Md Dris berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 8.50 malam.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dari rumah yang terletak sebelah pantai melintas jalan untuk pergi menunaikan solat di Masjid Rhu Muda yang terletak sebelah jalan.

“Ketika melintas jalan, mangsa dilanggar oleh sebuah kereta yang dipercayai datang dari arah Kuantan ke Kuala Terengganu.

“Kenderaan yang melanggar mangsa belum dikenal pasti dan belum tampil membuat laporan polis serta polis sedang mengesannya,” katanya menerusi kenyataan seperti dilapor Berita Harian hari ini.

Tambah Mohd Zain, perlanggaran itu mengakibatkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Author

Pilihan Editor