CYBERJAYA: Pelakon, Farid Kamil, enggan mengulas mengenai ‘bilik’ di rumah mereka yang dianggap tidak bersesuaian dimasuki anak-anaknya seperti dakwaan isterinya, Diana Danielle, baru-baru ini.
Pada masa sama, Farid turut menunjukkan gerakan tangan seolah-olah memberi tanda bahawa dia tidak mahu menjawab soalan berkenaan.
“Takda. Takda apa-apa,” ungkapnya ringkas seperti dilapor Harian Metro, hari ini.
Farid bertindak demikian ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam, ketika sebutan kes hadanah membabitkan hak penjagaan dua anaknya, Muhammad, 10 dan Nur Aurora, 8.
Sementara itu, Diana ketika ditanya mengenai perkara sama hanya berlalu pergi ke kenderaan miliknya sekali gus meninggalkan tanda tanya buat semua.
Pelakon filem Imaginur itu berlalu tanpa sebarang kata.
Untuk rekod, sebelum ini Diana menerusi perkongsian di Instagram Story miliknya mendedahkan bahawa Farid bertindak mengurung semalaman anak bongsunya, Nur Aurora di bilik tersebut atas alasan ingin memberi pengajaran terhadapnya kerana kesalahan memetik cili milik jiran sebelah rumah.
“’Bilik’ itu pun tak sesuai anak masuk. You tahu kenapa bilik itu tak sepatutnya ada kanak-kanak dalam itu.
“Jadi, memang tak sesuai nak suruh anak tidur dalam bilik itu, apa lagi atas lantai,” tulisnya.