AMPANG: Galeri Nur Raudhah, Ampang yang mendakwa menempatkan barangan peribadi Rasulullah dibuka secara percuma kepada orang ramai.
Jurucakap galeri, Mohd Zawawi Ramli memberitahu koleksi barangan peribadi itu adalah hasil kajian pakar arkeologi artifak Islam, Allahyarham Datuk Prof Dr Abd Manan Embong.
“Tujuan pameran adalah bagi memupuk rasa cinta kepada sejarah dan warisannya.
“Pembukaan galeri adalah sebagai memenuhi hasrat Allahyarham dan kami terbuka untuk sebarang kritikan atau pertikaian mengenai koleksi di sini.
“Tiada ritual pelik atau menjurus kepada taksub dan khurafat diadakan di sini, semua bawah pemantauan pihak berkuasa agama.
“Kami juga berhasrat mewujudkan kompleks pendidikan dan tamadun sejarah di Malaysia.
“Kita mahu ada pusat pengajian yang menggabungkan semua perkara dalam satu masa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pelancaran menziarahi Athar Nabi pada Rabu.
Tahun lalu viral gambar dan cerita mengenai Majlis Tabarruk Athar (Barang Peninggalan) Rasulullah SAW yang dibuat di Alor Setar, Kedah.
Tapi, rata-rata netizen mempersoal kesahihan dan kebolehan ‘ritual’ yang dibuat oleh beberapa orang ustaz seolah-olah seperti syirik dan khurafat.
Sehubungan itu, Mufti menasihatkan orang ramai agar berhati-hati mengenai koleksi peribadi yang didakwa milik Nabi.