KUALA LUMPUR – Generasi Z dan Alpha hari ini, yang lahir bersama gajet selain serasi dengan teknologi canggih terkini membuktikan mereka mampu berjaya dalam perniagaan tanpa pendidikan.
Bagaimanapun, jika tidak mempunyai asas ilmu perniagaan, teknologi canggih sekali pun tidak akan dapat membantu meneruskan operasi yang boleh berpunca daripada kegagalan sistem.
Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Datuk Ali Mansor berkata, kejayaan seperti itu dipercayai bersifat sementara namun beliau optimis bahawa golongan ini akan kembali kepada sistem pendidikan kerana ia adalah bentuk jaminan sepanjang hayat.
“Mungkin generasi muda itu buat keputusan sekarang (berniaga tanpa pendidikan) tapi mereka akan nampak penyelesaian tenaga kerja ini, mereka akan kembali kepada pendidikan.
“Macam tahun 90-an, bila kegawatan ekonomi berlaku, tak minat belajar, (berfikiran) buat apa masuk U dan tidak ada kerja, akhirnya mereka terbuka minda untuk kembali kepada pendidikan.
“Ia rantaian biasa ekonomi tapi akhirnya mereka sekuriti (jaminan berpanjangan) seperti pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas cabaran IKMa berikutan generasi hari ini menggunakan Tiktok dan Instagram sebagai platform perniagaan sehingga membuktikan boleh jadi usahawan tanpa pendidikan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa IKMa bersama Media di Hotel Sunway Putra, di sini.
Turut hadir, Timbalannya, Mohd Zaid Mat Yunus dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan)nya, Hamidah Mohd Jos.
Ali juga menyifatkan, platform media sosial adalah bentuk perniagaan jangka masa pendek, berbanding jangka masa panjang di pasaran luar.
“Kita sendiri sedang bekerjasama di seluruh dunia, malah dalam lawatan ke Indonesia baru-baru ini, mereka mahu kita terajui program Institut Koperasi di peringkat ASEAN.
“Bayangkan, kita ada pelajar, ada pasukan yang boleh melebar tenaga kerja koperasi ke 10 negara ASEAN akan datang,” katanya.
Justeru itu katanya, generasi muda hari ini digesa mengambil peluang untuk menyertai sektor keusahawanan dan koperasi menerusi bidang pendidikan dan latihan disediakan IKMa.
Ini kerana, permintaan pasaran kerja dalam sektor berkenaan dijangka melonjak, pada masa akan datang, susulan industri memerlukan pelapis baharu yang ramai.