JAKARTA: Kementerian Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan Indonesia akan melakukan pemeriksaan di beberapa kawasan yang dikenal pasti ‘hot spot’jenayah pemerdagangan manusia pada Rabu (5 April), menurut laporan media tempatan.
Menterinya, Mahfud MD berkata, modus operandi penyeludup tidak berperikemanusiaan kerana membawa pekerja migran Indonesia secara haram dan dijadikan hamba, manakala mereka yang sakit di pertengahan jalan ditinggalkan di tengah laut.
Justeru, pihaknya terus berusaha memperkukuh pengawasan serta mengetatkan penguatkuasaan undang-undang serta kawal selia demi memastikan jenayah sama tidak berulang.
Mahfud juga tidak menolak kemungkinan penyeludup turut sengaja menenggelamkan bot yang membawa pekerja migran seperti dilaporkan ketua Badan Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (BP2MI) Benny Rhamdani.
Siasatan BP2MI mendapati satu daripada empat bot yang digunakan penyeludup ditenggelamkan di perairan Johor, Malaysia pada 15 Disember 2021 untuk mengaburi pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia, katanya dipetik media tempatan pada Jumaat.
Insiden bot karam yang membawa kira-kira 50 pendatang tanpa izin di Tanjung Balau, Kota Tinggi mengorbankan 21 orang dan 16 lagi hilang, manakala 13 berjaya diselamatkan dalam operasi Carilamat selama lima hari dan dilaksanakan pihak berkuasa Malaysia. – BERNAMA