HomeHiburanIsteri Hafidz Roshdi sahkan hamil 10 minggu

Isteri Hafidz Roshdi sahkan hamil 10 minggu

 

CYBERJAYA: Isteri kepada pelakon Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada mengumumkan dirinya kini sedang hamil 10 minggu walaupun kemelut rumah tangga mereka masih berterusan.

Shuhada atau Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, memaklumkan perkara tersebut melalui hantaran di akaun Instagram miliknya.

“Buat zuriat ibu kandung, kuatlah sayang, kuat seperti kuatnya kamu berpaut di dinding rahim ibu, ibu sayang anak anak ibu, maafkan ibu semua, Humairah, Umar dan baby. Maafkan ibu sayang,” tulisnya menerusi ruangan kapsyen.

Menerusi hantaran sama, ibu kepada dua pasang cahaya mata itu berkongsi luahan hatinya.

“Semalam waktu ke mahkamah untuk mendapatkan hak ibu, ibu tak mampu tahan hati ibu. Air mata mengalir tak henti waktu ibu ceritakan pada mahkamah yang ibu tengah mengandung 10 minggu.

“Ibu dah cuba untuk kuat, lillahitaala. Tapi ibu perlukan kekuatan dari keliling ibu. Ibu dapatkan rawatan untuk masalah tekanan dan depres yang ibu hadap sekarang. 

“Ibu akan usaha sepenuh hati ibu, ibu kena kuat untuk terus jaga Humairah, Umar dan sekarang termasuk adik baru sis dan Umar,” katanya.

Menurut Shuhada, dia tidak boleh bergantung kepada ubat hospital kerana masih di awal kehamilan dan akan menjejaskan bayi dalam kandungan jika diteruskan pengambilannya.

Tambahnya, selepas mendengar kes ibu berpantang yang bertindak menikam leher sendiri kerana tertekan membuatkannya berfikir adakah dia mampu untuk berdepan dengan pelbagai cabaran.

“Mampu tak ibu kuat sepanjang proses ini. Ibu nak terus sihat untuk Humairah, Umar dan adik. Ibu kena kuat sebab ibu nak lihat anak-anak membesar depan mata ibu dan sama-sama kita susah senang,” ujarnya.

Shuhada memberitahu, dia jatuh pengsan ketika melakukan pemeriksaan di sebuah hospital dan demi kesihatan anak dalam kandungan, dia dinasihatkan untuk berbuka puasa.

Isu rumah tangga pasangan ini masih belum menemui noktah penghujungnya apabila kes tuntutan lafaz cerai yang dibuat Hafidz terhadap Shuhada ditangguhkan sehingga lepas sambutan Aidilfitri.

Untuk rekod, Hafidz mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2.

Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)

Author

Pilihan Editor