KUALA LUMPUR: Dek kerana pisau yang dipegang tersasar ketika memotong ayam, pelakon, Shahronizam Noor, 51, hanya mampu reda kehilangan jari kelingking akibat terpotong tanpa sengaja.
Kejadian yang berlaku sekilat lalu itu membuatkan dia terpaksa dikejarkan ke Hospital Ampang selepas jari kelingkingnya terkulai dan putus.
Menurut anak tiri pelakon berkenaan, Daniel Hairi, kejadian itu berlaku selepas mereka sekeluarga berbuka puasa di rumah pada Isnin malam.
“Abah mahu memotong ayam untuk diberikan kepada kucing peliharaan.
“Malangnya, pisau yang dipegang tersasar lalu terkena jari kelingkingnya ketika sedang memotong ayam.
“Melihat jari kelingking terkulai dan putus, kami segera membawa abah ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan selepas melihat kecederaannya teruk,” kata Daniel seperti dilapor Berita Harian.
Tambah Daniel, petugas perubatan berjaya menghentikan pendarahan dan membalut luka, manakala jari kelingking yang putus dimasukkan dalam bekas serta dibekukan.
“Ketika itu, tiada doktor pakar, yang ada hanya petugas perubatan.
“Abah bernasib baik kerana mereka berjaya menghentikan pendarahan walaupun jari kelingking sudah putus.
“Petugas perlu tunggu pengesahan doktor pakar sama ada jari kelingking boleh disambungkan atau sebaliknya.
“Namun, doktor pakar mengesahkan jari kelingking tidak dapat diselamatkan kerana urat arteri sudah putus,” maklumnya.
Jelasnya, keadaan Shahronizam kini semakin stabil.
“Keadaan abah semakin stabil dan kini sedang berehat sehingga luka dialaminya sembuh sepenuhnya.
“Walaupun sedih tiada lagi jari kelingking, abah reda dengan ujian menimpanya pada Ramadan ini,” ujarnya.