HomeBeritaViralKedai pakaian ‘offer’ baju raya RM1 cetus kekecohan

Kedai pakaian ‘offer’ baju raya RM1 cetus kekecohan

CYBERJAYA: Gara-gara membuat promosi tawaran baju raya RM1, sebuah kedai pakaian di Seksyen 7, Shah Alam alami kekecohan apabila lebih 500 pengunjung menyerbu kedai berkenaan awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu sekitar jam 10.30 pagi membabitkan kekecohan ketika kedai pakaian berkenaan memulakan operasi.

Katanya, kekecohan tercetus apabila kedai pakaian terbabit membuat promosi untuk 100 orang pertama dapat membeli pakaian dengan kadar harga RM1, manakala 50 orang berikutnya mendapat baju kurta percuma.

“Dianggarkan lebih 500 orang membanjiri kedai itu untuk mendapatkan harga promosi berkenaan sehingga berlaku tolak-menolak dan kekecohan.

“Atas faktor keselamatan, pihak pengurusan kedai bersetuju menghentikan operasi pada jam 11.45 pagi kerana tidak dapat mengawal bilangan pengunjung yang hadir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, setakat ini tiada sebarang laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak dan tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlalu mudah terpengaruh dengan mana-mana promosi yang dibuat pada musim perayaan ini, manakala pihak peniaga perlu sentiasa peka dan elakkan membuat promosi yang boleh mengelirukan orang ramai bagi mengelak kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” ujarnya.

Terdahulu, tular rakaman di media sosial memaparkan berlakunya kekecohan di hadapan sebuah kedai pakaian di Seksyen 7, Shah Alam.

Dalam rakaman sama, kelihatan kedai tersebut dibanjiri pengunjung yang berasak untuk memasuki premis berkenaan.

Author

Pilihan Editor