SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan tambahan RM35 juta untuk program memperkasakan komuniti projek perumahan rakyat (PPR) di Selangor dan Kuala Lumpur.
Perdana Menteri berkata, peruntukan itu dijangka memberi manfaat kepada 50,000 penduduk PPR menerusi program Kita Untuk Kita (K2K), khususnya melibatkan kira-kira 12 perumahan yang dikenal pasti bermasalah dan tenat.
“RM35 juta itu kita sudah luluskan dan boleh dilaksanakan dalam kadar segera sebab ada rumah-rumah dalam keadaan tenat.
“Saya juga bincang dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya percepatkan proses dengan tidak ikut tender yang biasa dan (tempoh) panjang, tetapi tender terhad supaya dipercepatkan (untuk peruntukan berkenaan),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program K2K yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, di sini.
Program K2K antaranya bertujuan membina kapasiti dan memperkasa peranan komuniti untuk menggalas tanggungjawab bersama terkait hal pengurusan bangunan dan persekitaran serta pengisian di kawasan perumahan awam.
Mengulas berhubung pelan struktur Kuala Lumpur yang baharu, Anwar berkata, pelan berkenaan yang sepatutnya diluluskan bulan ini ditangguhkan sehingga akhir Mei depan bagi membolehkan beberapa pindaan dilaksanakan.
Anwar berkata, pindaan itu antaranya bukan sahaja akan menjadikan Kuala Lumpur sebagai mercu tanda berdasarkan pembangunan infrastruktur semata-mata, tetapi turut menekankan aspek kehijauan dan kebersihan.
“Sebab itu saya tangguhkan (lulus pelan Kuala Lumpur baharu). Cadangan pindaan itu sudah pun diluluskan di peringkat pegawai tapi saya beritahu edarkan pelan itu supaya ahli politik, syarikat, pakar dan badan bukan kerajaan dapat bagi pandangan terakhir untuk kita baiki,” katanya.
Beliau berkata, proses penelitian oleh beberapa pihak itu bukanlah sesuatu yang baharu kerana perkara berkenaan telah dilaksanakan sebelum ini.
Sementara itu Anwar berkata, beliau akan mempertimbangkan supaya pembayaran gaji penjawat awam pada bulan April dapat diawalkan, sebagai persediaan untuk menyambut Aidilfitri. – BERNAMA