CYBERJAYA: Lebih 150,000 individu membantah usaha untuk membebas dan melepaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi pengampunan diraja.
Bantahan itu disuarakan melalui satu petisyen yang dilancarkan di platform change.org. berjudul, ‘Petisyen kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong: Najib Tidak Wajar Diampunkan’.
Petisyen yang digerakkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) itu mendapat jumlah tandatangan sebanyak 150,174 setakat pukul 7.30 malam tadi.
Petisyen berkenaan menyasarkan 200,000 jumlah tandatangan selaku sokongan membantah pengampunan Najib.
Untuk rekod, Najib sebelum ini dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Selepas bekas Ahli Parlimen Pekan itu gagal mendapatkan kebenaran menyemak semula keputusan itu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada Najib.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia sebagaimana kuasa yang diperuntukkan mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, katanya, MKT sebulat suara bersetuju untuk memohon menghadap bagi mempersembahkan warkah rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong berserta memorandum yang ditandatangani seluruh kepimpinan UMNO daripada 191 Bahagian termasuk Wanita dan sayap Pergerakan Pemuda serta Puteri UMNO.