HomeHiburanKutipan Mat Kilau RM100 juta, namun produksi tak terima bonus

Kutipan Mat Kilau RM100 juta, namun produksi tak terima bonus

KUALA LUMPUR: Filem pecah panggung, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang dilaporkan mencatat kutipan hampir RM100 juta, dikatakan pelakon dan kru belum menerima sebarang pemberian bonus, setakat hari ini.

Perkara itu didedahkan oleh aktor, Johan As’ari bahawa dirinya tidak pernah menerima bonus daripada pihak penerbit, Studio Kembara.

Johan yang menggalas watak Yassin di dalam filem itu juga mengakui dirinya tidak lagi berhubung dengan penerbit filem itu, Abdul Rahman Mt Dali.

“Saya memang tak dapat bonus pun daripada penerbit, tapi saya tidak tahu pula dengan pelakon lain,” kata pelakon drama Juvana itu.

Pelakon berusia 37 tahun itu bagaimanapun tidak mengetahui sama ada pelakon lain menerima nasib yang sama sepertinya.

Meskipun tidak terkilan soal imbuhan itu, kemungkinan dia tidak akan bekerjasama lagi dengan syarikat berkenaan kerana tidak mahu timbul soal bayaran kelak.

“Saya bimbang penerbit tak mampu bayar saya kerana bonus filem Mat Kilau pun saya tak dapat,” selorohnya.

Johan juga tidak merasa kecewa apabila namanya tidak disenaraikan sebagai watak dalam filem prekuel Mat Kilau.

Abdul Rahman pada Julai 2022 dilaporkan pernah meluahkan hasrat untuk memberikan bonus kepada pelakon dan kru filem itu.

“Akan ada imbuhan yang munasabah, cuma saya belum tentukan jumlah yang akan diberikan kerana bergantung kepada keuntungan pada penghujungnya nanti,” kata Pengarah Urusan Studio Kembara itu.

Filem Mat Kilau mula ditayangkan pada 23 Jun 2022 dan di Indonesia sejak 31 Ogos tahun sama, sehingga mencatat kutipan pecah panggung sebanyak RM97 juta, setakat September tahun sama, sekali gus mengatasi Avengers: End Game sebanyak RM87 juta.

Author

Pilihan Editor