KUALA LUMPUR: Mekanisme yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup, isu kenaikan harga barang masih lemah dan perlu ada alternatif lain.
Luahan pendapat itu dilontarkan oleh Pengarah Urusan Summerfield, Mohd Amin Shukor sebagai pemain industri dari syarikat pengeluar susu milik Bumiputera, Hybrid Allied Dairy Company Sdn Bhd (HADC) yang memiliki jenama Summerfield.
Beliau berkata, realitinya isu harga barang bukan perkara baharu tetapi perlu diakui keadaan semasa kerajaan, mekanisme yang ada kurang berkesan menangani isu ini.
“Saya sebagai pemain industri turut terbeban dengan isu kenaikan harga barang, apatah lagi pengguna iaitu rakyat.
“Contoh paling hampir iaitu ketika Bazar Ramadan sekarang harga makanan sangat mahal dan jauh lebih tinggi berbanding sebelum ini,” katanya kepada media selepas Majlis Berbuka Puasa IKMa di Sunway Putra Hotel di sini.
Turut hadir, Timbalannya, Mohd Zaid Mat Yunus dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) IKMa, Hamidah Mohd Jos.
Seramai 150 tetamu jemputan hadir dan kebanyakannya wakil agensi media.
Beliau yang merangkap Ketua Pemuda UMNO Bahagian Damansara berkata, kerajaan yang dilihat amat menitiberatkan mengenai kebajikan rakyat ini perlu lebih efisien dalam mencari mekanisme lebih berkesan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.