CYBERJAYA: Setelah sekian lama menyepi dalam dunia hiburan, pelakon, Natasha Hudson menarik perhatian warga net dengan videonya di TikTok yang memperlihatkan muka dan tubuhnya disaluti masker.
Menariknya, Natasha atau Natasha Liana Hudson, 41, berkata, masker yang digunakan itu merupakan dari bahan semula jadi iaitu tanah liat yang diproses sendiri menjadi bahan kecantikan kulit.
Dalam video tersebut, Natasha berkongsi tips penjagaan kulit dengan menggunakan bahan semula jadi iaitu dari tanah liat.
“Jadi kalau korang pergi sungai, dia senang je nak cari kalau sungai itu bersih, dia akan nampak batu leper-leper macam ni dan senanglah.
“Lepastu cari batu tajam dan hancurkan sampai lumat barulah jadi,” katanya dalam video.
Tambah Natasha, tanah liat boleh dijumpai dalam bentuk lembut atau keras (kering) di tempat air sungai yang cetek.
Menurut Natasha, selepas memakai masker tanah liat ini, muka akan kelihatan bersih dan menghalang dari terkena sinaran UV atau panas matahari.
“Kalau kita ada dalam hutan kan, ulat-ulat pon tak berani nak hinggap dekat kita punya kulit sebab lepas kita pakai terus takda bau benda ni,” jelasnya.
Untuk pengetahuan, terdapat kajian yang mengatakan tanah liat sesuai dijadikan masker kerana dapat merawat liang pori. Ini kerana, haba dari tanah liat dapat membuka liang pori dan menarik keluar semua kotoran.
Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)