KOTA BHARU: Seorang pelajar tahfiz maut, manakala 11 lagi cedera apabila van dinaiki mereka terbabas memasuki parit dalam kemalangan di Jalan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Taman Bendahara, Pengkalan Chepa, dekat sini pada 11.32 pagi tadi.
Dalam kejadian itu, van jenis Ssangyong yang dinaiki pelajar tahfiz tersebut dipercayai dalam perjalanan pulang daripada membeli pakaian raya di sebuah pasar raya berhampiran.
Mangsa, Wan Ahmad Izzat Alauddin, 12, meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat.
Ibu mangsa, Wan Noor Azilah Wan Sulaiman, 48, berkata, dia yang tinggal di Kampung Tapang, di sini mengetahui berita kemalangan itu melalui aplikasi kumpulan WhatsApp pusat tahfiz berkenaan sebelum bergegas ke tempat kejadian.
âSaya sampai di tempat kejadian 20 minit kemudian, luluh hati apabila melihat tubuh anak telah ditutup. Dalam keadaan masih keliru, saya kuatkan diri untuk melihat juga keadaannya yang telah kaku dan berlumuran darah di bahagian kepala,â katanya ketika ditemui pemberita di HUSM di sini hari ini.
Wan Nor Azilah berkata, sepatutnya dia akan menjemput anaknya malam ini untuk pulang beraya di kampung neneknya di Felda Ciku 7, Gua Musang.
Katanya anak tunggal itu teruja memberitahunya untuk keluar membeli baju raya bersama rakan-rakan yang lain ketika menelefonnya malam tadi.
âSaya tidak menyangka itulah kali terakhir saya bercakap dengannya. Walaupun sedih kehilangan satu-satunya anak, saya reda dengan ketentuan Allah,â katanya.
Wan Nor Azilah berkata jenazah Wan Ahmad akan dibawa pulang petang ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Ciku 7.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Alam Nasut Ilias berkata, pihaknya tiba di tempat kejadian pada 11.45 pagi dan mendapati seorang mangsa telah meninggal dunia, manakala 11 lagi pelajar dan seorang pemandu cedera.
Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk mendapatkan rawatan, manakala mangsa yang meninggal dihantar ke HUSM untuk bedah siasat. – BERNAMA