HomeGlobalPelakon Kanada meninggal dunia akibat 12 pembedahan kosmetik

Pelakon Kanada meninggal dunia akibat 12 pembedahan kosmetik

 

PELAKON popular Kanada, Saint Von Colucci meninggal dunia selepas menjalani 12 pembedahan kosmetik semata-mata untuk menyerupai bintang K-pop, Jimin dari BTS.

Colucci menghembuskan nafas terakhir tiga hari lalu pada usia 22 tahun di sebuah hospital di Koea Selatan selepas mengalami komplikasi akibat pembedahan berkenaan yang dilaluinya beberapa bulan lalu, lapor Daily Mail.

Menurut ejen publisiti Colucci, Eric Blake, artisnya itu mengalami jangkitan akibat pembedahan implan rahang pada November 2022 dan terpaksa menjalani pembedahan pada malam Sabtu lalu untuk mengeluarkannya.

Meskipun prosedur itu tidak berjaya, namun, Colucci tetap dimasukkan ke dalam tabung oksigen sebelum meninggal dunia beberapa jam kemudian.

Menurut Blake, Colucci telah membelanjakan AS$220,000 (RM978,000) untuk 12 prosedur kosmetik selama setahun terakhir termasuk pembedahan rahang, hidung, wajah, mengecilkan bibir, menaikkan kening serta mata dan pembedahan kecil lain.

Mendiang Colucci turut menyedari risiko akibat pembedahan rahang tetapi masih meneruskan prosedur tersebut kerana beliau sangat “tidak yakin dengan penampilannya”.

Untuk rekod, Colucci berada di Korea Selatan untuk membintangi drama Korea, Pretty Lies.

Menurut Blake, syarikat produksi drama yang membawa pelakon itu ke sana membayar kos penginapan, pengangkutan dan kos sara hidupnya sepanjang menjalani penggambaran.

Author

Pilihan Editor