HomeBeritaLelaki maut, kereta dihempap pokok tumbang

Lelaki maut, kereta dihempap pokok tumbang

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki maut selepas kereta Proton Waja yang dipandunya dihempap pokok tumbang di hadapan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), malam tadi.

Mangsa, S Karthigesu, 52, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian sekitar jam 8 malam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya, Penolong Penguasa Bomba, Azahari Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 8.27 malam.

Katanya, jentera bomba sukar ke lokasi kerana tiang elektrik di kawasan itu turut tumbang dan merentangi jalan raya.

Bilik kawalan BBP Aman Jaya kemudian menghubungi pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta agensi berkaitan untuk meminta bantuan.

“Komander Operasi melaporkan terdapat mangsa lelaki berusia 50-an dipercayai tersepit dalam kenderaan Proton Waja terbabit.

“Mangsa dikeluarkan dari kereta berkenaan namun disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Tambah beliau, terdapat lebih 10 pokok di kawasan sekitar kejadian turut tumbang menyebabkan banyak kenderaan rosak.

“Enam kenderaan yang rosak adalah dua buah Proton Waja, Perodua Myvi, Nissan X-Trail dan BMW.

“Anggota bomba kemudian mengalihkan pokok tumbang yang menghalang jalan raya dengan dibantu agensi berkaitan di lokasi kejadian,” maklumnya.

Author

Pilihan Editor