WASHINGTON: Pihak yang bertelagah di Sudan bersetuju untuk mengekalkan gencatan senjata selama tiga hari bagi menghentikan keganasan yang semakin meningkat, kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken, pada Isnin.
Blinken berkata, persetujun itu dicapai menerusi satu rundingan antara Angkatan Tentera Sudan (SAF), yang diketuai oleh Jeneral Abdel-Fattah Burhan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) pimpinan Jeneral Mohammed Hamdan Dagalo atau lebih dikenali sebagai Hemedti.
“Dalam tempoh ini, AS menggesa SAF dan RSF untuk segera menyokong gencatan senjata itu,” kata Blinken dalam satu kenyataan, lapor Agensi Anadolu.
“Dalam usaha untuk menamatkan pertempuran, AS akan berkoordinasi dengan rakan kongsi serantau dan antarabangsa dan pihak berkepentingan awam Sudan untuk membantu dalam mewujudkan jawatankuasa bagi mengawasi rundingan dan pelaksanaan penamatan permusuhan secara kekal dan mengatur bantuan kemanusiaan di Sudan,” katanya.
Pada minggu lalu, AS telah pun menutup kedutaannya di Khartoum dan memindahkan kakitangan kedutaan. Washington kini sedang mencari jalan untuk menyambung semula aktiviti diplomatiknya di negara itu.
Sekurang-kurangnya 413 orang terbunuh dan 3,551 lagi cedera sejak konflik di Sudan tercetus pada 15 April. – BERNAMA