HomeBeritaViralPPIM tuntut penganjur Hoorrey disenarai hitam, bayar vendor sebelum Raya

PPIM tuntut penganjur Hoorrey disenarai hitam, bayar vendor sebelum Raya

KUALA LUMPUR: Penganjuran acara Hoorrey X Fest Raya 2023 yang menghimpunkan vendor-vendor jualan sempena raya Aidilfitri, sepatutnya berlangsung pada 19 April hingga 21 April ini namun bertukar menjadi ‘kecoh’ apabila acara itu dibatalkan pada saat akhir.

Acara yang dijadualkan berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) itu merupakan anjuran Tenview (M) Sdn Bhd melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya merangkap CEO Asia Global Entertainment (International) Sdn Bhd, Datuk Mohammad Alif Hakim.

Mohammad Alif Hakim

Lebih daripada 100 vendor dilaporkan telah membuat pembayaran bernilai dari RM1,500 sehingga RM80,000 untuk sewaan tapak niaga namun mereka terpaksa ‘berputih mata’ apabila pihak penganjur masih belum memulangkan wang berkenaan.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pembatalan acara itu pada saat akhir amat mengecewakan.

Malahan, vendor-vendor yang terlibat terpaksa menanggung kerugian besar dan tambah hiba apabila Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang tidak lama lagi, untung tak dapat rugi pula terpaksa ditanggung.

“Vendor acara berkenaan hanya menerima notifikasi daripada pengurusan WTCKL bahawa acara tersebut telah dibatalkan hanya beberapa jam sebelum acara berlangsung.

“Apa yang mengejutkan seorang selebriti yang pernah dikaitkan dengan scammer turut dikatakan terbabit dalam penganjuran acara ini.

“Saya harap usahawan berhati-hati dengan pihak penganjur yang tidak pernah ada pengalaman menganjurkan acara sebesar ini dan diharap untuk senarai hitam individu terbabit agar tidak berulang di kemudian hari.

“Saya difahamkan Datuk Seri Ahmad Maslan dijemput sebagai perasmi acara tetapi beliau tolak kerana ada acara lain, begitu juga portal dalam talian MEDIA VARIASI yang dijemput sebagai rakan media.

“Jangan sertai program ‘last minute‘ raya ini pelajaran untuk semua usahawan kerana kita tidak tahu risiko yang berhadapan beberapa hari sebelum raya,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Tambah Nadzim yang turut dikenali sebagai Toqqi, jika penganjur gagal membayar semula kepada vendor sebelum raya, pihaknya akan menyeru semua pihak yang teraniaya untuk turun padang bagi membuat laporan polis.

“Semua vendor akan kumpul ambil tindakan undang-undang, penganjur nak Raya di balai ke?

“Kita mudahkan orang lain, Tuhan mudahkan kita, kita susahkan aniaya orang, kita susah, dunia ini kecil sahaja nak lari mana, ingat itu,” katanya.

Sehubungan itu, PPIM mengalu-alukan vendor-vendor yang terlibat untuk membuat aduan menerusi saluran PPIM bagi mengambil tindakan undang-undang atas kerugian yang dialami.

PPIM boleh dihubungi di talian 03-40503055 atau hadir membuat aduan di Villa Puteri Kuala Lumpur bersebelahan WTCKL.

Author

Pilihan Editor