HomeBeritaViralNasib vendor Hoorrey X Fest Raya untung tiada, rugi sudah tentu

Nasib vendor Hoorrey X Fest Raya untung tiada, rugi sudah tentu

KUALA LUMPUR: Peniaga-peniaga yang telah menempah gerai jualan bagi jualan raya di acara Hoorrey x Raya Fest 2023 meluahkan rasa kecewa apabila dimaklumkan acara itu dibatalkan pada saat akhir.

World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) dalam satu kenyataan berkata, acara yang dijadualkan berlangsung selama 72 jam tanpa henti itu telah dibatalkan serta-merta dan pihaknya tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kerugian.

Ratusan peniaga yang terdiri daripada peniaga pakaian, makanan, kuih raya dan kelengkapan raya terpaksa menanggung kerugian hampir ratusan ribu ringgit dek kerana telah menempah stok yang banyak dan tidak mungkin terjual sebelum raya menjelang.

Seorang peniaga dikenali Nora berkata, antara peniaga yang paling terkesan teruk dengan pembatalan acara ini adalah peniaga makanan yang menjual kuih raya.

“Kuih raya dah buat berbotol-botol dan tiba-tiba ekspo batal, rugi kami hampir RM10,000. Mana lagi kami nak jual kuih raya kalau bukan masa raya,” katanya.

Wakil daripada Seco Ventures pula menegaskan telah menempah hampir 1,000 pasang baju Melayu dan kurta semata-mata untuk dilelong pada acara tersebut.

“Nilai kerugian hampir RM50,000 dan terpaksa berputih mata memandangkan lambakan pakaian raya yang tidak dapat dijual.

“Penganjur acara, Tenview (M) Sdn Bhd hanya memberikan kenyataan pembatalan acara pada jam 6.10 petang semalam, kurang 6 jam sebelum acara berlangsung.

“Tindakan ini telah menambahkan kemarahan peniaga yang telah pun berada di WTCKL lebih awal untuk tujuan pemasangan dan penyediaan tapak,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang peniaga dari Seremban dikenali Noor berkata, dia sudah berada di WTCKL seawal 5 petang pada Selasa, kerana penganjur sebelum ini memaklumkan proses loading bay barangan boleh dilaksanakan mulai pukul 6 petang akan tetapi acara dibatalkan serta-merta.

Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif Tenview (M) Sdn Bhd, Datuk Mohammad Aliff Hakim memberikan dua pilihan kepada peniaga sama ada untuk mendapatkan bayaran balik atau menunggu tarikh acara berikutnya yang akan diumumkan kelak.

“Pihak penganjur akan membuat pertemuan bersama-sama dengan semua peniaga untuk urusan bayaran balik yang akan berlangsung jam 2 petang Rabu di WTCKL,” katanya.

Mohammad Aliff turut menjelaskan bahawa pembatalan acara tersebut berikutan penaja utama telah menarik diri yang menyebabkan bayaran lokasi acara tidak dapat dilunaskan.

Namun beliau tidak mendedahkan nama penaja yang terlibat.

Beliau ditemui semasa pertemuan bersama peniaga-peniaga yang terjejas di WTCKL malam tadi.

Acara Hoorrey X Raya Fest sepatutnya diadakan pada 19 hingga 21 April 2023 dan berlangsung selama 72 jam tanpa henti di WTCKL.

Antara rakan artis dan selebriti yang dilaporkan sepatutnya terlibat dalam acara berkenaan adalah Lan A To Z, Wan Scoin, Jaafar Onn, Ayie Floor 88, Amer Forteen, Elyana, Aidil Aziz, Risteena, Izzue Islam, Rina Eva, Anne Abdullah, Farah Wahida, Car Farish, Ayu Damit, Soffi Jikan, dan Rahmat Mega.

Author

Pilihan Editor