HomeGlobalSi bulus buat hal! Telan 11 getah rambut milik penjaga

Si bulus buat hal! Telan 11 getah rambut milik penjaga

LONDON: Melihat keletah si bulus pastinya mencuit hati ramai pihak.

Mana tidaknya, kadang-kadang haiwan berbulu lebat itu tanpa sengaja melakukan perkara-perkara yang di luar jangkaan.

Namun, harus diingatkan supaya para pencinta kucing mengutamakan keselamatan dan kesihatan haiwan peliharaan tersayang. Baru-baru ini, di Newcastle dilaporkan seekor kucing berusia dua tahun menelan 11 getah rambut kepunyaan pemiliknya, lapor Daily Mirror.

Kucing bernama Nero yang merupakan baka Moggy itu dilaporkan telah mencuri getah rambut pemilkinya, Amy Richards, 29, yang diletakkan di meja tepi katil serta menelannya.

Menurut saluran berita ChronicleLive, Richards mengetahui keberadaan getah rambutnya apabila Nero muntah dan mula berasa bimbang apabila ia jatuh sakit selepas keluar kepingan kedua.

Mereka kemudian membawa haiwan itu ke hospital Westway Vets, di mana ujian ultra bunyi mendedahkan lebih banyak getah rambut terkumpul di dalam perut Nero. Ia perlu dikeluarkan segera kerana boleh menyebabkan halangan dalam sistem badan yang boleh mengancam nyawa.

Doktor haiwan, Lucy Carr, pengarah klinikal, Caroline Scobie dan jururawat veterinar, Tilly Gladstone kemudian bekerjasama menarik keluar getah rambut tersebut menggunakan endoskop dan alat pencengkam.

Sembilan lagi getah rambut berjaya ditarik keluar dari perut Nero semasa prosedur yang berlangsung selama satu jam setengah.

“Kami tidak percaya ia telah menelan sebegitu banyak getah rambut. Di Westway Vets, kami telah mengeluarkan pelbagai jenis barang seperti stoking, mainan dan itik getah daripada anjing, tetapi ini adalah luar biasa bagi kucing,” kata Carr.

Susulan rawatan, Nero kini pulih sepenuhnya.

Author

Pilihan Editor