CYBERJAYA: Pempengaruh media sosial, Ubai mengakui pernah beberapa kali datang ke rumah kekasihnya yang juga penyanyi, Shila Amzah, untuk berbuka dan moreh namun bukan seorang diri.
Ubai atau nama lengkapnya Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, 25, menafi dakwaan pihak yang menuduhnya tinggal serumah dengan Shila.
“Sha (panggilan Shila Amzah) memang duduk seorang diri. Kadang-kadang saya ajak kawan-kawan tempat kerja untuk berbuka puasa atau moreh di rumahnya.
“Boleh dikatakan setiap kali ‘live’ dalam TikTok, pasti ada yang bertanya sama ada kami tinggal serumah atau tidak. Kami pun sudah lali apabila kerap ditanya dengan soalan yang sama.
“Nak cakap duduk serumah itu jauh sekali. Apatah lagi ibu saya sekarang pun kurang sihat. Jadi fokus untuk ibu saya lebih utama,” katanya seperti dilapor Kosmo.
Tambah Ubai, Shila amat profesional untuk menangani isu sedemikian kerana sudah lama berada dalam industri berbanding dirinya yang masih lagi baharu.
“Bila Sha buat live, mesti orang akan tanya mana Ubai? Bila kami buat live bersama, orang tanya pula kami duduk serumah ke?
“Sha sangat profesional kerana dia sudah lama berada dalam industri untuk berdepan isu sebegini. Cuma saya masih lagi baharu,” ujarnya.
Kisah percintaan antara mereka berdua semakin mendapat perhatian warga net selepas Ubai dilihat membeli sebentuk cincin untuk Shila.
Malahan, timbul desas-desus mengatakan pasangan terbabit akan mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.