KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun bank parti bagi tujuan siasatan dan larangan perjalanan oleh Jabatan Imigresen terhadap Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan bahawa pemohon telah melepasi keperluan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman dan terdapat isu yang boleh dibicarakan berhubung perintah pembekuan yang dipertikaikan dan larangan perjalanan.
“Isu-isu yang boleh dibicarakan ini mewajarkan hujahan lanjut oleh pihak-pihak di peringkat substantif dan tidak boleh dihapuskan oleh mahkamah pada peringkat ini,” katanya.
Hakim juga berkata permohonan Bersatu untuk memulakan semakan kehakiman adalah tidak remeh dan menyusahkan.
“Saya berpandangan bahawa permohonan itu boleh diterima oleh semakan kehakiman dan sewajarnya kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman adalah dengan ini dibenarkan,” kata Hakim Ahmad Kamal.
Bagaimanapun, Hakim Ahmad Kamal tidak membenarkan permohonan perintah interim parti untuk pelepasan dana daripada akaun Bersatu kerana ia akan mengganggu siasatan SPRM.
“Pada peringkat ini, membenarkan perintah interim atau pelepasan interim itu sama seperti campur tangan dalam kuasa SPRM melaksanakan kuasanya untuk pengubahan perintah.
“Justeru, saya berpendapat bahawa pengeluaran wang, yang atau mungkin berkaitan dengan kesalahan pengubahan wang haram tidak boleh dibenarkan,” katanya.
Hakim seterusnya berkata, pengeluaran wang jika dibenarkan, akan mengurangkan aset yang dibekukan (wang dalam akaun) kerana tujuan perintah pembekuan adalah untuk memelihara aset yang disyaki melakukan aktiviti jenayah.
“Membenarkan pengeluaran wang itu akan menggagalkan tujuan perintah pembekuan yang masih belum ditentukan dalam perbicaraan jenayah,” katanya.
Dalam permohonan interim itu, Bersatu memohon pengeluaran RM1 juta bagi menampung operasi, pengurusan, gaji, kos, perbelanjaan lain dan tujuan aktiviti politik Bersatu.
Ia juga memohon pelepasan RM6 juta daripada akaunnya bagi tujuan aktiviti kempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang dan RM1 juta lagi untuk perbelanjaan yang diperlukan.
Mengenai isu larangan perjalanan, Hakim Ahmad Kamal berkata, penarikan balik larangan perjalanan itu tidak bersifat akademik kerana mahkamah perlu melihat larangan itu secara keseluruhan, bukan sebagai kes terpencil.
“Selain itu, larangan perjalanan itu juga mempunyai unsur kepentingan awam dan memerlukan mahkamah melihatnya secara substantif kerana Muhyiddin, sebagai Perdana Menteri Malaysia sebelum ini mempunyai kedudukan tertentu di negara ini,” katanya sambil menambah isu mengenai kesahihan larangan perjalanan itu menyentuh kebebasan asas yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, memerlukan pendengaran substantif oleh mahkamah ini.
Hakim Ahmad Kamal menetapkan 21 Jun untuk pengurusan kes sebelum menetapkan tarikh lain untuk mendengar merit semakan kehakiman itu.
Pada 8 Mac, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya, selaku pegawai awam Bersatu dan Muhyiddin selaku Presiden Bersatu memfailkan permohonan menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan 19 yang lain responden pertama hingga ke-20.
Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly mewakili kerajaan manakala peguam Rosli Dahlan mewakili Bersatu. – BERNAMA